Friday, November 17, 2017

AYAT 1


Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya mengusai Makkah),

Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, iaitu pertolongan dan kemenangan itu adalah datangnya dari Allah SWT pada masa yang ditentukan Nya dan dalam bentuk yang dikehendaki Nya, sedangkan Nabi dan para sahabatnya tidak mempunyai apa-apa peranan dalam kemenangan itu.

Ia merupakan urusan Allah SWT semata-mata yang dilaksanakan Nya dengan mereka atau tanpa mereka. Inilah keseluruhan peranan mereka dalam mencapai kemenangan dan dalam sambutan orang ramai menerima agama Allah, kerana itu dalam menghadapi penghormatan Allah SWT yang melaksanakan kemenangan itu, mereka berkewajiban untuk bertasbih, bertahmid dan beristighfar pada saat-saat kemenangan itu.

Beristighfar terhadap berbagai-bagai perasaan dan pengalaman jiwa iaitu beristighfar terhadap perasaan bangga dan sombong yang berkecamuk dalam hati pada saat-saat mabuk kemenangan setelah sekian lama berjuang. Perasaan yang sedemikian memang sukar dikawal dalam hati manusia kerana itulah mereka perlu beristighfar.


AYAT 2

Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai,

Di dalam ayat ini, sebahagian ahli tafsir memberikan berbagai penafsiran diantaranya orang Arab, ahlu Makkah dan yang lainnya.

Ikramah dan Muqotil mengatakan bahawa penafsirannya adalah orang-orang Yaman yang berjumlah 700 orang datang kepada Rasulullah SAW untuk beriman, tunduk patuh dan masuk Islam. Diantaranya ada yang pandai azan, baca Al-Quran dan berzikir sehingga Umar dan Ibnu Abbas menangis melihat hal tersebut. Rasulullah pun terlihat senang sehinggakan wajahnya berbunga-bunga dengan kejadian tersebut.

Ada satu lagi atsar yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya dari Jabir bin Abdullah bahawa ada seorang tetangganya yang melihat Jabir bin Abdullah mengangis dan menanyakan kenapa menangis.

Dan Jabir mengatakan bahawa beliau mendapatkan ayat 2 ini dari An-Nasr bahawa sekarang manusia beramai-ramai masuk Islam suatu ketika nanti akan zaman manusia beramai-ramai keluar dari Islam.


AYAT 3

Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Mensucikan Allah hendaknya dengan memuji Nya atas nikmat-nikmat yang dianugerahkan Nya dan mensyukuri atas segala kebaikan-kebaikan yang telah dilimpahkan Nya. Kemudian mintalah ampun kepada Allah untuk dirimu dan untuk sahabat-sahabatmu yang telah memperlihatkan kesedihan dan keputus asaan kerana terlambat datangnya pertolongan Allah SWT.

Bertaubat dari keluh-kesah adalah dengan mempercayai penuh akan janji-janji Allah dan dengan membersihkan jiwa dari pemikiran yang bukan-bukan bila menghadapi kesulitan.